Dua fungsi dalam satu peranti

Galaxy K Zoom

PENGELUAR telefon bimbit pintar terkemuka, Samsung Malaysia Electronics (SME) baru-baru ini sekali lagi tampil dengan pilihan peranti terbaharu. Peranti tersebut sesuai kepada mereka yang mementingkan aplikasi gambar dan video dengan memperkenalkan gajet dua dalam satu menggabungkan fungsi kamera penuh dengan telefon pintar.

Diperkenal sebagai Galaxy K Zoom, model baharu ini merupakan telefon bimbit pintar yang diadun bersama teknologi kamera digital untuk menampilkan keupayaan optik sebenar dalam rekaan premium.

Di samping menampulkan kualiti profesional visual yang memberangsangkan, peranti ini turut menawarkan fungsi seperti kamera profesional bagi memastikan pengguna dapat merakam detik indah dengan kejelasan lengkap.

Menurut Presiden SME, Lee Dong Yong, Galaxy K Zoom diperhebatkan dengan teknologi lensa 10x optikal zoom yang dibina dalam bentuk fizikal lebih nipis.

Ciri-ciri penting lain termasuk sensor ultra 20.7 megapiksel BSI CMOS yang memberikan imej jelas ketika pencahayaan rendah di samping penstabil imej optik (OIS) pula berfungsi bagi mengurangkan masalah kabur disebabkan oleh pergerakan.

Sebagai tambahan, teknologi Xenon Flash yang dimiliki pada Galaxy K Zoom memberikan cahaya lebih terang daripada LEDs bagi meningkatkan kualiti imej dengan kecemerlangan semula jadi,” katanya.

Dikuasakan oleh sistem operasi Android 4.4 Kitkat dengan format ISO Auto, Samsung turut memperkenalkan mod selfie yang membolehkan rakaman lebih baik dengan butang shutter (bukaan) mudah dicapai serta fokus pantas.

Dibina dengan skrin seluas 4.8 inci HD Super AMOLED, kamera ini turut membenarkan pengguna menukarnya menjadi telefon bimbit pintar dengan rangkaian jalur lebar evolusi jangka panjang (LTE).

Rekaannya juga mengintegrasikan kebolehgunaan kamera dengan menampilkan beberapa ciri khas termasuk AF/Pemisahan AE (Auto Fokus / Auto Exposure Separation) untuk pencahayaan tepat dan jelas selain mod Pro Suggest menawarkan lima penetapan turas yang dioptimumkan.

Selfie Alarm yang terdapat pada Galaxy K zoom membolehkan pengguna mengambil gambar sendiri dengan mudah menerusi sensor pengesanan objek yang jelas. Di samping itu, ciri User Interface (UI) membolehkan pengguna merakam gambar dan video dengan kualiti sempurna pada sebarang keadaan.

Samsung memastikan keperluan pengguna diituruti dengan menyediakan kesemua ciri pada siri Galaxy seperti Ultra Power Saving Mode bagi mengurangkan penggunaan hayat bateri, S. Health Lite untuk mengukur kesihatan dan gaya hidup serta aplikasi Studio membenarkan mereka menyunting gambar dan video dengan mudah.

Ditawarkan pada harga runcit RM 1,699, pilihan peranti berwarna putih akan berada di pasaran bermula 21 Jun manakala hitam bermula 26 Jun.

Bagi pelanggan yang mendapatkannya, anda berpeluang menebus aplikasi Galaxy Life berjumlah RM1,500 yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

Maklumat lanjut mengenai Galaxy K zoom, boleh layari laman web www.samsung.com atau laman sosial www.facebook.com/samsungmalaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20140623/me_01/Dua-fungsi-dalam-satu-peranti#ixzz36hPEzeWR
© Utusan Melayu (M) Bhd