Ninetology lancar peranti LTE pertama

Sean Ng (tengah) memperkenal telefon pintar Ninetology LTE U9Z1T pada majlis pelancarannyadi ibu negara baru-baru ini.

PENGELUAR telefon bimbit tempatan, Ninetology Asean (Ninetology) tidak mahu ketinggalan dalam memperkenalkan peranti pintar yang mempunyai sambungan rangkaian jalur lebar evolusi jangka panjang (LTE).

Diperkenalkan sebagai U9Z1T, telefon bimbit pintar tersebut dibina dengan skrin bersaiz lima inci beresolusi 1,280 x 720 piksel dan beroperasi menggunakan pemproses Qualcomm S Quad-Core Snapdragron 400.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Ng, peranti yang dilengkapi dengan binaan storan RAM satu giga bait (GB) itu turut menawarkan kuasa 13 megapiksel (MP) bagi kamera belakang dan 1.6 MP bagi kamera hadapan.

“Selain itu, U9Z1T dipacu oleh sistem operasi Android 4.3 Jelly Bean dengan kapasiti bateri 2,000 mAh sekaligus mempunyai ketahanan bateri sehingga sembilan jam masa berbual.

“Hanya dijual pada harga RM899, Ninetology menyasarkan untuk menjual 50,000 buah U9Z1T sehingga September tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran U9Z1T di ibu negara baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Ninetology turut melancarkan saluran portal atas talian yang direka khusus bagi meningkatkan perkhidmatan termasuk tawaran eksklusif penebusan serta pengumuman berita terkini daripada syarikat berkenaan.

Platform tersebut bertindak sebagai medium untuk mendekati dan menyatukan pelanggan dan rakan kongsi perniagaan sekaligus mewujudkan suasana perniagaan yang lengkap dengan pengalaman membeli-belah baharu kepada pelanggannya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web www.ninetology.com atau www.facebook.com/NinetologyMalaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20140630/me_02/Ninetology-lancar-peranti-LTE-pertama#ixzz36hQW1sHK
© Utusan Melayu (M) Bhd